Selamat Tinggal Dunia Maya
Oh..cepatnya masa berlalu. Cepat sungguh!
Berakhir 2006 bermakna tibalah masa untuk AKMA undur diri.
Undur diri? Ohh..jangan bergurau. Tidak...tidak. AKMA tidak bergurau. Masa AKMA sudah tiba.
AKMA memulakan perjalanan di dunia maya pada 14 Ogos 2003. Bermula detik itu, persepsi AKMA dalam menyelusuri hitam putih hidup dimayakan. Dengan sedikit harapan, agar persepsi AKMA dalam mendepani kalut dunia, dapat dikongsi dan dihayati. AKMA tidak minta pandangannya tentang hidup dipersetujui 100% kerana AKMA amat menghayati prinsip coklat Smarties yang berbagai warna. :) Juga seperti yang pernah AKMA katakan dulu, ada banyak jenis ketupat. Ketupat jantung, ketupat sate, ketupat daun palas. Matlamatnya cuma satu, agar siapa yang memakannya berasa tenang dan kenyang. Yang penting, penganyam ketupat sate jangan berbalah dengan penganyam ketupat jantung. Hormatilah pandangan masing-masing dan bergeraklah seiring jalan. Kerana matlamat kita sebenarnya bukan kenyang. Kenyang cuma ujian. Menganyam juga ujian. AKMA senyum lagi.
AKMA membuat saya keliru!
Ohhh...I'm sorry...I'm sorry (barangkali senada dengan Rita Rudani). Senyum. Ya...barangkali AKMA kerap membuat manusia keliru dengan persepsi yang pelik-pelik. AKMA minta maaf.
AKMA harus minta maaf kepada pecinta bahasa kerana dalam catatan AKMA, terlalu banyak salah nahu dan tatabahasanya. Kerap AKMA menulis dari hati tanpa merujuk. Dan itulah hati AKMA, terlalu banyak pincangnya. AKMA juga mohon maaf kepada semua pengunjung setia AKMA, samada ketika AKMA bernadi di bawah url andakaumenjadiaku.blogspot atau kembarasolo.blogspot. Walau ada sedikit yang terguris di hati, AKMA pohonkan kemaafan.
Terima kasih.
Ya...AKMA juga harus menzahirkan perasaan terima kasih. Terima kasih kepada semua kerana sudi meminjamkan sedikit kasih buat AKMA. Yang memberikan kekuatan untuk AKMA menulis. Buah fikiran, lintasan hati, catatan perjalanan AKMA sebenarnya bukanlah milik AKMA tetapi 'milik' sahabat-sahabat juga. AKMA sebenarnya tiada. AKMA bukanlah blog. AKMA cuma persepsi.
Aduh...AKMA makin buat saya keliru!
Ohhh...maaf sekali lagi. AKMA bukan hakmilik, tapi anugerah. Boleh begitu? Senyum.
Pedih sebenarnya menyudahkan catatan terakhir ini. Ianya seolah merenggut sesuatu dari lubuk hati. Tapi itulah adat perjalanan. Ada titik mula dan ada titik akhir. Walau pedih...tapi AKMA puas. Ya puas kerana dapat menyumbang sesuatu dalam hidup yang pendek ini. Terima kasih Tuhan.
Walau AKMA tiada di dunia maya, nadi AKMA akan terus berdenyut. AKMA akan sentiasa hadir di setiap hela nafas. Kerana AKMA bukanlah blog.
AKMA adalah persepsi.
Salam tenang dan salam kasih dari AKMA.
Nota kaki :
AKMA berkelana ke Kota Cinta/Kota Cahaya bermula esok sehingga hari terakhir 2006.





