Friday, November 24, 2006

Kita harus laluinya...

AKMA menerima satu email panjang. Soal dugaan hidup...soal resah dan tenang..soal tabah. Subhanallah. AKMA terlalu kerdil untuk menjawab persoalan tenang dan tabah. Musafir AKMA masih baru setahun jagung usianya. Tidak layak untuk mengulas soal tabah cuma yang AKMA boleh katakan...setiap kita harus laluinya sendiri!

Mari ambil sedikit masa. Masih ingat dulu...beratus tahun dulu...ada seorang manusia yang dilempar batu..di caci maki...kemudian dia kehilangan orang tersayang bertimpa-timpa? Ingat lagi manusia itu? Juga...masih ingat cerita betapa manusia itu dikatakan tenang orangnya...tabah orangnya.

Tuhan mampu saja kalau mahu melindungi manusia itu agar tidak dicaci maki dan dilempar batu...tapi Tuhan 'biarkan'. Zalimkah Tuhan?

Bagi AKMA...lemparan batu...caci maki..dan dugaan yang bertimpa-timpa itulah yang menjadikan manusia itu tenang dalam hidupnya. Ada ketikanya dia sedih, kecewa dengan dugaan hidup. Tapi makin lama manusia itu makin sedar bahawa dia harus laluinya sendiri..untuk dia lebih faham makna tabah dan tenang. Dan dia faham...pedih dan perit...cuma medium...untuk dia lebih dekat kepadaNYA. Lalu dia senyum...dan lalui saja musafirnya.

Kita cuba-cubalah untuk mengikuti jejak langkah manusia itu ...mana tahu...dengan mengikuti jejak dia...Tuhan sayang...

@ 11:47 PM   10 comments

Thursday, November 23, 2006

Sup ketam dan denggi

Terima kasih Hirman di bumi Malaysia. Walau dia akan berterusan mengatakan apa yang diberitahu itu cuma perkara kecil, AKMA akan terus ingat sampai bila-bila...dan moga persahabatan kita akan terus hingga ke hujung nyawa. Insya-Allah Man...

Ketika AKMA resah mendengar khabar Abah dimasukkan ke hospital kerana denggi, AKMA berbual dengan Hirman. Walau tidak pasti perkaitan antara sup ketam dan denggi, Hirman menyampaikan tips itu. AKMA browse di sana sini, dan memang banyak berita tentang denggi dan sup ketam. Browse sana sini mencari kalau-kalau ada bukti klinikal perkaitan antara keduanya tapi tidak ketemu. Walau begitu, AKMA sampaikan juga tips itu ke bumi Malaysia dan alhamdulillah...Abah sudah keluar wad apabila bilangan platlette darah meningkat.

Yakin bahawa sembuh bukannya bergantung kepada mana-mana sup...AKMA masih tertanya-tanya apa sebenarnya hubung kait antara sup ketam dan denggi.

Ada doktor-doktor atau pendapat yang hendak di kongsi? AKMA mengalu-alukannya...

p/s: AKMA dengan penuh rasa terharu mengucapkan ribuan terima kasih kepada sahabat-sahabat yang mendoakan kesejahteraan orang kesayangan AKMA. Terima kasih. Hanya Allah yang dapat membalasnya.

@ 11:49 PM   3 comments

Tuesday, November 21, 2006

Ingin sekali....

Pulang dari uni setelah selesai membentangkan 'progress report' thesis. Alhamdulillah, tiada komen yang terlalu major. Lega. Sepanjang pembentangan hati sebenarnya tidak di situ. Jauh melayang. Hati di bumi Malaysia!. Ingin sekali berada di sisi dia. Menemani dia...sebagaimana dia menemankan aku dulu..ketika aku menghabiskan hari-hari di Hospital Kuantan.

Tuhan...sampaikan salam sayang aku.

Ingin sekali berada di sisi dia...

@ 4:48 PM   4 comments

Monday, November 20, 2006

Kelu

Hidup umpama roda.

1. Seseorang yang amat disayangi terlantar di katil hospital Kuantan.
2. Aku....uhhhh....

Tuhan...pinjamkan aku tenang.

@ 6:30 PM   6 comments

Sunday, November 19, 2006

Tag

Hampir pukul 3.30 pagi. Sejam lalu menyudahkan entry terbaru AKMA dan kemudian cuba untuk melelapkan mata. Ntah ribut apa yang melanda, mata yang selalunya mudah lena tidak mahu akur. Bangun cuba menyiapkan pembentangan hari Selasa, gagal juga.

Terkebil-kebil didepan notebook dan teringat seseorang, Indera. Memenuhi permintaannya, tangan pantas menari-nari di keyboard notebook....

5 Benda atau Perkara yang saya lakukan jika saya seorang jutawan
1. Binakan rumah yang selesa untuk mak abah, juga mertua dan selesaikan semua hutang mereka jika ada.
2. Binakan rumah yang selesa untuk tersayang dan anak-anak.
3. Menyediakan pembimbing khas yang datang ke rumah, supaya kami sekeluarga mampu memahami dengan lebih mendalam siapa insan dan ke mana hala tujunya.
4. Menyediakan peruntukan khusus untuk pelajaran anak-anak.
5. Menunaikan rukun Islam ke 5 bersama tersayang

5 Tabiat buruk
1. Suka menangguhkan bangun tidur. 5 minit lagi. 5 minit lagilah.
2. Buat kerja 'last minit'
3. Mudah kasihan sehingga selalu sangat ditekan.
4. Mudah sgt tidur. Letak kepala...hanyut.
5. Suka makanan manis.

5 Perkara yang saya benci melakukannya
1. Meninggalkan keluarga bila ada urusan di luar kawasan.
2. Menghadiri majlis makan malam rasmi
3. Mengacarakan majlis yang aturcaranya sentiasa berubah-ubah semasa majlis berjalan
4. Mengatakan tidak dan menghampakan orang
5. Marah-marah

5 Perkara yang tidak akan saya lakukan
1. Bunuh orang pakai bom tangan.
2. Saja-saja bom rumah sendiri
3. Makan tempoyak dengan spagetti
4. Bela anjing di rumah
5. Masuk bertanding pilihanraya

5 Perkara yang saya menyesal melakukannya
1. Tidak belajar dengan begitu baik ketika sekolah.
2. Meninggalkan tersayang ketika usia si kecil baru 2 bulan
3. Menyakiti hati mak
4. Menyakiti hati abah
5. Menyakiti hati tersayang

5 Permata Hati Saya
1. Mak
2. Abah
3. Tersayang
4. Anak-anak
5. Adik beradik

5 Tempat yang saya sukai
1. Laut
2. Pantai
3. Rumah sendiri
4. Rumah mak abah
5. Rumah mertua

5 Saat yang penuh bermakna
1. 7 September 1998
2. 13 May
3. 12 Disember
4. 2 September 2005
5. Insya-allah pada 7 Mac 2007

5 Benda/Perkara yang saya sukai
1. Senyuman dan renungan tersayang
2. Gelak tawa anak-anak
3. Masakan mak dan tersayang
4. Coklat
5. Mandian/sabun/perfume bau apple

5 Perkara tentang diri saya
1. Simple
2. Tenang
3. Senyum
4. Diam
5. Pemerhati

5 Orang yang paling saya sukai di dalam Blog
1. Bluehikari,ikatan ukhuwah yang akhirnya mencetuskan kelahiran AKMA pada 2003
2. Uncle Ep, catatan perjalanan yang kerap mengetuk pintu hati
3. Wkdin, rakan yang mesra
4. Diman, seorang adik yang berjuang dalam kasih
5. Indera-kencana,catatannya dalam mengimbau kisah lalu terlalu menarik

5 orang yang saya pilih untuk menyambung tag ini
1. Hafizism, adik nun di bumi Perlis. Tiada blog tapi masih boleh tag di fotopages kan Hafiz?
2. Hakim Dirani, musafir di bumi Syria
3. Ustazmuda, anak Pahang yang akan terus berjuang. Insya-allah.
4. Iman Mawaddah, kerap bertamu tapi terlalu sedikit yang AKMA tahu
5. Pisces, biar dia rajin sikit updatete blog. :)


@ 3:37 AM   3 comments

Selamat Hari Lahir Amnan

AKMA menatap wajah itu 7 tahun lalu. Tatkala 'nurse' menyuakan wajah kecil itu, AKMA hilang kata-kata. Syukur yang panjang. Besarnya anugerahmu ini Tuhan. AKMA genggam tangan ummi yang berjuang menyabung nyawa. Terima kasih sayang. Berada di sisi ummi tatkala dia dilahirkan, cukup membuka mata betapa perjuangan seorang bernama ummi itu amat hebat.

Muhammad Amnan, suatu hari nanti, bila sampai detiknya, Abah akan kisahkan perjuangan ummi mu. Semoga ianya menambah taat dan sayang kepada ummi.

Angin...walau AKMA berada beribu batu di bumi asing, sampaikanlah ucapan hari lahir kepada Muhammad Amnan. Doa dan harapan AKMA...jadilah anak yang soleh...jauh lebih baik dari Abah.

Selamat Hari Lahir Muhammad Amnan

@ 1:53 AM   1 comments

Saturday, November 18, 2006

...

Lepas Isyak, rasa macam dah tak boleh nak bukak mata. Letak kepala...dan buummm....Sedar-sedar pukul 11.00 pm. Lamanya tidur. Mengalahkan baby!.

Basuh muka, on CNN dan terasa lapar sangat. Baru teringat dan 2-3 hari tak makan betul-betul. Kunyah apa yang sempat jer kebelakangan ni. Bukak fridge, capai susu dan biskut. Sambil tengok berita sambil mengunyah. Tak ada apa sangat yang menarik. Berita yang dah berulang-ulang dari pagi. Off tv...mengadap notebook. Dan perkara pertama yang aku nampak...renungan ni...


Tiba-tiba aku rasa rindu aku mengalahkan rindu Kasyah pada Ayu!!!

@ 3:00 AM   0 comments

Wednesday, November 15, 2006

Renungilah Teman

Mendengar lagu dari album terbaru Alleycats...membuat diri diam...merenung jauh ke dalam...

Song: Renungilah Teman
Artist: Alleycats (Album Rasa - August 2006)

Maafkan aku wahai teman yang tersayang
Maafkanlah sekiranya teguranku melukakan
Demi Tuhan ku lakukan
Semua dengan keikhlasan
Demi untuk melihat hari mukamu bahagia

Ingatlah teman jangan berlebih ketawa
Mungkin itu kan membawa kita hampir dengan duka

Kita tidak tahu, yang bakal berlaku
Seperti kita tak bisa mengawal cerah cuaca

Chorus :
Teman, jangan sekali kau mudah lupa
Hidup ini sementara
Setiap dugaan, datang, bersabarlah teman
Berkat kesabaran kan membawa kemenangan

Apa yag terjadi teman jangan ditangisi
Namun senyumlah atas nikmat yg diberi
Melalui sepi kembali ke pangkal jalan

Renungilah teman...

Ikhlas ku teman memberi peringatan
Melihat kau bahagia, itu yang lebih utama

Sekiranya nanti aku tiada lagi
Sematkan dalam ingatan sebagai tanda kenangan

+++

Bagi yang terasa memerlukan mp3, email akma1312@gmail.com

@ 9:22 AM   3 comments

Saturday, November 11, 2006

Percaya pada gerak hati?

Selesai solat asar...menung di sejadah.

Sedapnya kalau dapat makan roti canai petang-petang mcm ni. Ahhh...jauhnya berfantasi di bumi asing ni. Tak harus melayan rasa!. Sambar jaket...keluar menghirup udara sejuk. Kaki melangkah tanpa tujuan. Teringat stok susu segar di bilik dah habis...cepat menukar haluan ke Toko Tai Wing (satu antara 2 kedai Asia di Enschede).

Tangan mencapai susu dan menuju ke kaunter sambil mata melirik ke kiri kanan.

Terpempam! Roti canai dari Malaysia 2.05 euro (~RM9.60), kari dari Malaysia 1.25 euro(RM5.90)! [Perhatikan tanda halal JAKIM]. Seakan mahu menitis air mata. Sekian lama aku mengulang kedai ini tidak pernah ada tapi hari ini...

Tuhan Maha Mendengar...

Terasa kerdilnya diri....

@ 12:49 AM   6 comments

Thursday, November 09, 2006

Gugurlah amarah...

Aku pening. Marah pun ada. Sudahnya balik dari uni hari ni, aku layan potato chips, biji gajus, kismis dan segala macam makanan-makanan merapu depan tv sampaila matahari muncul. Lepas solat subuh, aku bantai tidur sampai zohor. Puas hati!

Aku tunggu tarikh appointment tu selama 3 minggu. Sebab aku memang 'get stuck' dengan satu benda dalam research work aku. Ada satu data yang tak masuk (tak ngam) dengan data lain. Supervisor aku cakap dia penah deal dengan problem aku tu. Senang jer and dia akan tunjuk cuma dia bz. Itulah sampai 3 minggu aku cuba sendiri. Sampai bebudak kata aku dah mati sebab tak nampak aku pegi lunch semua. Pagi sebelum pergi appointment, hampir melompat aku bila aku jumpa cara nak settlekan data tu. Bila aku jumpa supervisor aku, dia pun cuba la nak tunjuk cara dia buat sebab dia kata senang jer. Terkial-kial dia try. Lepas setengah jam masih gagal. Alih-alih dia nak tengok cara aku settlekan. Aku tunjuk. Agaknya dia masih tak puas hati kot kenapa dia tak dapat nak settlekan. So ulang-ulang kali dia cuba lagi. Dan cuba lagi. Dengan cara dia yang aku dah memang pasti tak boleh. Sebab dataset tu dataset yang berbeza dari yang dia pakai dulu. Hampir 3 jam aku dok tengok dia struggle dengan data tu. Degil betul Prof ni aku kata dalam hati. Aku dah cuba 3 minggu la method ni!. Tapi dalam hati jelah...

Sudahnya...comments yang aku nanti-nantikan tentang apa yang aku submit 3 minggu lepas sampai ke sudah dia dia tak bagi. 3 jam berlalu macam 30 minit! Dia mintak lagi sekali apa yang aku dah bagi tiga minggu lepas. Angin satu badan! Buang masa betul.

Sepanjang jalan dari uni...aku rasa panas satu badan....angin sejuk tak mampu redakan marah. Aku rasa jiwa terlalu kacau. Marah!!!!

Tapi dalam remang senja itu...ketika mata melirik menjeling daun-daun yang gugur musim luruh....hati tersentuh...subhanallah....

Baru tersedar...aku seharusnya menggugurkan amarah ini...umpama dedaun itu...Ujian ini tak seberapa....

Tuhan ... terima kasih...


@ 5:20 PM   2 comments

Monday, November 06, 2006

Ukhuwah bertaut di Delft, the Netherlands

Lelaki Melayu Delft terakhir...


Perempuan Melayu Delft terakhir...


Juadah Melayu Delft terakhir...


Juadah Melayu Delft terakhir...lagi


Nasi tomato Delft terakhir...

Gambar lagi?

@ 11:58 PM   4 comments

Friday, November 03, 2006

Merentas Tanah Datar Mencari Silaturrahim

Esok bakal memenuhi undangan jamuan hari raya di Delft. Jauh perjalanannya. 4 jam pergi dan 4 jam balik. Tak apalah. Moga ada berkatnya. Semuanya bermula hanya dengan gambar yang terpapar di Salam Perantau, Utusan Online. Disusuli email dan alhamdulillah esok insya-allah bakal ketemu anak-anak melayu di bumi Tulip ini. Doakan AKMA selamat pergi dan selamat kembali.



@ 8:29 PM   1 comments

Thursday, November 02, 2006

Ayam kurma


Hampir menggigil sepanjang jalan pulang dari rumah Zaki. Hari ni sejuknya luar biasa. Menggigit hingga ke tulang hitam. Lupa...winter makin hampir. Jaket biru yang dibeli tahun lepas seolah-olah cuma sehelai baju Pagoda!

Melangkah pulang dalam gelap, AKMA sebenarnya baru pulang dari memenuhi jemputan. Terima kasih Zaki dan keluarga atas undangan makan malam tadi. Sedap masakannya. Moga dilimpari rahmat dariNya sekeluarga. Dan hidangan ayam kurma tadi mengembalikan nostalgia...

AKMA senyum....





@ 12:36 PM   0 comments